[url=mailto://][/url]
LOS ANGELES: Pengusaha hotel Barron Hilton bercadang memberi derman AS$2.3 bilion (RM7.68 bilion), sebahagian besar daripada hartanya, kepada badan amal.
Barron, 80, yang juga adalah datuk kepada pelakon Paris Hilton, akan menyalurkan derma itu melalui Yayasan Conrad N. Hilton, badan amal yang diasaskan oleh bapanya pada 1944.
“Kami bangga dan berterima kasih terhadap pemberian luar biasa itu,” kata anaknya, Steven M Hilton, presiden dan ketua eksekutif yayasan berkenaan.
“Kerja amal untuk meringankan kesengsaraan di seluruh dunia tidak mengira bangsa, agama atau kawasan ialah mandat yang diberi kepada yayasan ini oleh datuk saya dan kini diteruskan oleh bapa saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dana pemberian itu adalah hasil jualan Hilton Hotels Corp. kepada The Blackstone Group, dan penjualan Harrah’s Entertainment.
Wang itu akan dimasukkan ke tabung amanah yang akan menyalurkan dana kepada yayasan itu. Barron Hilton yang juga pengerusi yayasan akan menyalurkan serta-merta AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion) kepada yayasan itu dengan bakinya selepas beliau meninggal dunia.
Ini bermakna, Paris dan anggota keluarga lain perlu berkongsi baki daripada derma itu antara mereka. Barron membayangkan pada mesyuarat lembaga pengarah baru-baru ini beliau akan mengikut jejak bapanya yang meninggalkan hampir semua hartanya kepada yayasan itu apabila beliau meninggal dunia pada 1979. - AP