Steven Gerrard kapten England
LONDON - Pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard dinamakan sebagai ketua pasukan untuk perlawanan pertama England di bawah jurulatih baru Fabio Capello.
Berusia 27 tahun, Gerrard akan memimpin pasukannya untuk perlawanan persahabatan menentang Switzerland di Wembley hari ini.
Ia merupakan penampilan ke-64 Gerrard untuk England.
Gerrard pernah menjadi ketua pasukan enam kali sebelum ini di mana England menang dua perlawanan dan tewas empat kali.
“Dia bukan ketua pasukan tetap. Saya tidak akan menamakan ketua pasukan tetap sebelum perlawanan dengan Andorra,’’ Capello memberitahu sidang akhbar menerusi jurubahasa.
“Steven penting bagi semua pemain kerana dia memberi inspirasi kepada rakan sepasukan.’’ katanya.
Pemain pertahanan, John Terry yang menjadi ketua pasukan di bawah kendalikan bekas jurulatih England, Steve McClaren, tidak tersenarai kerana cedera.
David Beckham yang menjadi ketua pasukan ketika England dibimbing Sven Goran-Eriksson, menolak peranan ketua pasukan selepas Piala Dunia 2006.
– AP