First topic message reminder :
SEJAK 1983, era permotoran negara mengalami perubahan ketara apabila banyak kenderaan terutama kereta mula memasang cermin gelap dan ia berlarutan sehingga sekarang.
Itu adalah sebahagian daripada penambahan, pengubahsuaian dan pemasangan pelbagai aksesori kenderaan terutama milik persendirian yang kadang kala dilihat semakin sukar dikawal berikutan permintaan tinggi terhadap aksesori terkini yang berada di pasaran.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebenarnya memberi kelonggaran dengan membenarkan pemasangan aksesori tetapi mesti mengikut syarat bertujuan memastikan kenderaan itu selamat dipandu.
Mungkin ramai pemilik kenderaan tidak mengetahui bahawa bukan semua aksesori yang dipasang mendatangkan faedah selain untuk kecantikan kerana ia juga mengundang padah jika tersilap percaturan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Pemilik seharusnya bijak membuat pilihan ketika memasang aksesori dengan memastikan ia bersesuaian dengan kemampuan kenderaan, selamat dan selesa digunakan, misalnya pemilihan rim dan tayar yang sesuai serta menukar enjin berkuasa lebih besar.
Aksesori tak ikut spesifikasi undang bahaya
BAGI sesetengah pemilik kenderaan khususnya golongan muda, memiliki kenderaan yang cantik dilengkapi pelbagai aksesori seolah-olah menjadi kebanggaan dan kegilaan di zaman serba moden ini.
Pemilik kenderaan sanggup berhabisan beribu ringgit semata-mata mahu memiliki kereta yang menarik perhatian tanpa menyedari mereka sebenarnya menempah bahaya dengan mengubahsuai, menambah aksesori tanpa kelulusan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
Memang diakui, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi kebenaran untuk mengubahsuai kenderaan atau menambah aksesori tetapi ia hanya merujuk kepada perkara yang tidak menjejaskan keseimbangan, keselamatan hingga membahayakan ketika dipandu.
Perkara ini membabitkan banyak perkara dan kebiasaannya pemilik kenderaan akan menukar saiz tayar, rim, memasang cermin gelap, mengubah suai ekzos dan memasang pelbagai aksesori lain antaranya termasuk air spoiler, skirt, bonet, lampu, penghadang angin.
Pembantu Pengarah Teknikal JPJ, Ir Mohamad Dalib, ketika mengulas senario itu berkata, kebanyakan pemilik kenderaan baru akan menukar tayar dan rim supaya kelihatan lebih cantik tanpa mengetahui jenis dan spesifikasi yang sesuai untuk kenderaan mereka.
Katanya, tayar kenderaan dianggap sebagai nyawa kepada pemandu kerana ia akan menentukan hala tuju keselamatan dan sehubungan itu, mereka perlu memastikan tayar yang ditukar bersesuaian dan menyemak kemampuan had laju maksimum dan ketahanannya.
“Jangan mudah tertipu untuk mendapatkan tayar yang menarik sedangkan ia sebenarnya adalah tayar celup, tayar korek dan tayar potong. Pemilik perlu tahu apa yang mereka mahu, mereka boleh rujuk pada buku panduan manual atau notis pada pintu kenderaan sebelah pemandu untuk menyemak jenis tayar dan spesifikasi yang sesuai.
“Penggunaan rim yang terlalu besar dan berat sebenarnya tidak sesuai untuk kenderaan. Mereka hanya dibenarkan menukar kepada satu saiz lebih besar, misalnya daripada saiz 13 inci kepada 14 inci,” katanya.
Ini kerana, walaupun nampak menarik, ia memberi kesan kepada putaran roda luaran menyebabkan pergerakan tayar kenderaan dan ‘pick-up’ perlahan manakala tekanan lonjakan juga terjejas.
Mengenai pemasangan cermin gelap, pemilik perlu mematuhi arahan kadar ketelusan cahaya mengikut spesifikasi iaitu 70 peratus bagi cermin depan dan 50 peratus bagi cermin kiri dan kanan serta cermin belakang.
“Filem yang tersilap pasang atau tidak sesuai untuk cermin boleh menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam kenderaan berganda atau berkembar terutama pada waktu malam. Ini menyebabkan pandangan tidak jelas dan merbahaya ketika memandu.
“Secara peribadi, saya beranggapan mereka yang memasang cermin gelap sebenarnya cuba menyorok identiti dikenali, sepatutnya mereka berbangga kerana memiliki kenderaan mahal dan mewah.
“Sepatutnya mereka bangga memandu kereta mewah kerana hasil titik peluh sendiri, tetapi nak sorok dan ini boleh menimbulkan pelbagai perspektif masyarakat,” katanya.
Bagi kereta tempatan jenis Proton Wira, Iswara dan Knight, JPJ membenarkan pemandunya memasang tirai belakang kerana ia termasuk dalam pakej aksesori dan penumpang di kiri dan kanan masih boleh dikenali secara terus.
Modifikasi tak kena tempat jejas jangka hayat kenderaan
MENGUBAHSUAI kenderaan sememangnya memberi kepuasan tetapi perlu dielakkan jika mendatangkan kerosakan, menjejaskan kesihatan atau kerugian dari segi kewangan, penggunaan serta kesan jangka panjang kepada jangka hayat kenderaan itu.
Contoh paling mudah ialah pengubahsuaian penyenyap bunyi akhir bertujuan menghasilkan bunyi yang dilepaskan melalui ekzos yang kuat.
Pembantu Pengarah Teknikal JPJ, Ir Mohamad Dalib, berkata di Malaysia lebih 40 peratus pemilik kenderaan menukar atau mengubah suai tangki penyenyap bunyi akhir kononnya untuk menghasilkan bunyi kuat serta menarik perhatian pengguna lain.
Bagaimanapun, berdasarkan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kenderaan empat roda iaitu 1.5L hingga 2.0L hanya dibenarkan menghasilkan bunyi atau melepaskan tahap asal tidak melebihi 85dB.
“Di Malaysia, ramai yang suka menukar penyenyap bunyi akhir sehingga ke tahap 110dB. Kebanyakan adalah pemilik kereta jenis Proton Iswara, Wira manakala kereta Perodua Kancil biasanya akan menukar ke tahap maksimum 90dB kerana hanya mempunyai tiga piston (omboh).
“Bayangkan, orang di dalam kabin (kereta) ketika kenderaan itu menaiki bukit. Bunyinya akan meningkat dua kali ganda dan ia mengganggu gegendang telinga disebabkan tekanan udara tempat tinggi. Semua itu perlu diambil kira kerana ia mengganggu kesihatan dan tumpuan kerana telinga berdengung,” katanya.
Kadar penggunaan minyak bagi kenderaan yang mengubahsuai penyenyap bunyi juga perlu diambil kira kerana kos penggunaannya meningkat sekali ganda berbanding menggunakan peralatan asal dan standard.
Semakin besar dB dihasilkan, semakin banyak petrol digunakan dan ia jelas satu pembaziran. Sebagai perbandingan, sebuah kereta Proton Wira yang menggunakan penyenyap bunyi asal mampu bergerak lebih 500 kilometer (km) bagi setiap tangki penuh dianggarkan RM85.
Sedangkan, kereta Wira yang menggunakan penyenyap bunyi diubahsuai hanya mampu bergerak kira-kira 250 km dengan jumlah petrol yang sama.
“Penyenyap bunyi standard mempunyai tiga saluran bersalut kabus kuning sedangkan penyenyap bunyi yang diubahsuai hanya mempunyai pembalut kabus kuning saja menyebabkan bunyi tidak ditapis dan terus keluar melalui ekzos. Ini yang dikatakan usah suai tak kena tempat,” katanya.
Pengguna juga diingatkan ketika membeli kenderaan terpakai supaya tidak ditipu penjual yang tidak memaklumkan keadaan sebenar kenderaan potong dan sambung.
Secara fizikalnya, kenderaan itu dalam keadaan baik tapi sebenarnya kenderaan itu tidak selamat digunakan dan tidak diiktiraf JPJ.
Pengubahsuaian yang tidak dibenarkan ialah yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan atau menyebabkan kenderaan berbahaya apabila digunakan di jalan raya.