Chelsea mengejar, Liverpool lega
|
PEMAIN Liverpool, Ryan Babel (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Everton, Tony Hibbert pada pertemuan Liga Perdana England di Anfield, semalam. Liverpool menang 1-0. – Reuters.
|
LONDON – Chelsea hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Middlesbrough dalam usaha untuk terus memberi tekanan kepada Manchester United bagi merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Gol tunggal jaringan pemain pertahanan, Ricardo Carvalho pada minit ke-6 ternyata cukup melegakan Chelsea yang boleh kehilangan kedudukan di tangga kedua liga kepada Arsenal jika seri pada perlawanan di Stamford Bridge itu, semalam.
Carvalho menyambut bola sepakan percuma pemain bek kiri, Wayne Bridge dengan satu tandukan untuk mengakhiri kemarau jaringannya sejak 7 April tahun lalu.
Kemenangan itu membolehkan Chelsea mengumpul 71 mata, lebih satu mata sahaja daripada Arsenal yang menduduki tangga ketiga liga.
Manchester United masih ampuh sebagai pendahulu dengan 76 mata selepas membenamkan Aston Villa 4-0, kelmarin.
Liverpool juga mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas jiran mereka, Everton semalam untuk mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga sekaligus mencerahkan peluang meraih tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Gol jaringan Fernando Torres pada minit ke-7 memusnahkan impian Everton yang berhajat memintas Liverpool.
Dengan kemenangan itu, Liverpool kini mengumpul 62 mata meninggalkan Everton lima mata di belakang ketika saingan musim ini berbaki enam perlawanan sahaja lagi.
– Agensi