Penantian Chelsea berakhir
LONDON - Chelsea menamatkan badi di pentas Eropah apabila buat pertama kalinya berjaya melangkah ke perlawanan akhir pada kempen Liga Juara-Juara.
Kejayaan membenam Liverpool menerusi agregat 4-3 pada aksi separuh akhir kelmarin turut menyaksikan Chelsea akan menentang Manchester United, iaitu pertembungan dua kelab dari England pada aksi akhir di Moscow 21 Mei ini.
Apa yang pasti, Didier Drogba muncul wira
The Blues apabila dua jaringannya di Stamford Bridge kelmarin memastikan kemenangan 3-2 tuan rumah itu ke atas bekas juara, Liverpool.
Frank Lampard turut menyumbang satu gol berharga menerusi sepakan penalti selepas Fernando Torres melenyapkan kelebihan Chelsea menerusi gol penyamaan pada babak kedua.
Pada aksi separuh akhir pertama di Anfield minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan 1-1.
"Sejak dari awal musim ini, gelaran Liga Juara-Juara adalah sasaran kami," kata Drogba.
|
DROGBA ledak dua gol di Stamford Bridge kelmarin.
|
"Memang kami menghadapi beberapa masalah musim ini. Ia adalah masa yang sukar bagi kelab ini. Tapi apa yang penting ialah melupakannya dan terus berusaha seperti yang kami lakukan. Objektif kami tidak berubah dan kini kami sudah pun berada di final.
"United adalah pasukan yang hebat dan yang terbaik di England, tapi kami juga bukanlah teruk sangat."
Lebih membanggakan lagi, Drogba yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas final Liga Juara-Juara ketika mewakili Marseille turut menutup mulut pengurus Liverpool, Rafa Benitez yang mengkritiknya baru-baru ini.
"Kami telah cuba untuk mara ke final sejak beberapa tahun lalu. Apa yang kami kecapi hari ini (kelmarin) adalah sesuatu yang hebat buat kelab dan juga peminat," jelas penyerang Ivory Coast itu.
"Rafael Benitez seorang jurulatih yang hebat, tapi saya kecewa dengan komennya. Kritikannya sangat peribadi dan bola sepak bukannya mengenai semua kritikan ini." - Agensi