10,000 jutawan Muslim
[url=mailto://][/url]LONDON: Menteri Dalam Negeri Britain Jacqui Smith berkata bilangan penduduk Muslim di negara itu kini meningkat kepada dua juta termasuk 10,000 daripadanya yang sudah pun bergelar jutawan.
Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, angka terbaru itu menunjukkan bilangan penduduk Islam di Britain meningkat seramai 400,000 orang sejak bancian terakhir pada 2001.
Jumlah itu bersamaan pertambahan 50,000 orang penduduk Muslim setiap tahun selepas tarikh bancian berkenaan.
“Selepas agama Kristian, Islam adalah agama terbesar kedua di Britain. Seramai 1.6 juta mengakui diri mereka sebagai umat Islam dalam bancian 2001 dan angka itu mungkin sudah pun mencecah dua juta orang sekarang. Islam adalah antara agama paling banyak dianuti di kalangan masyarakat Britain,” katanya dalam pertemuan dengan Majlis Seni dan Budaya Kebangsaan Pakistan.
Kenyataan Smith itu mengukuhkan lagi laporan akhbar di Vatican yang merujuk Islam kini mengatasi Roman Katolik sebagai agama terbesar di dunia.
Pemimpin Vatican, Monsignor Vittorio Formenti dalam temubual dengan akhbar Vatican, L’Osservatore Romano disiarkan Ahad lalu menyatakan Katolik pada masa ini merangkumi 17.4 peratus penduduk di dunia yang disifatkan sebagai peratusan yang stabil, berbanding penduduk Islam seramai 19.2 peratus.
Smith berkata, penduduk Muslim memainkan peranan penting dan aktif dalam kehidupan masyarakat Britain dari Parlimen ke peringkat pihak berkuasa tempatan, pasukan tentera, dasar, profesional, seni, sukan dan hal ehwal perniagaan serta politik.
Smith juga memberitahu, beliau mahukan institusi pengajian tinggi Britain memberikan pendidikan berkualiti mengenai agama dan aspek Islam lain.
“Ia sebahagian usaha menjadikan Britain sebagai pusat kecemerlangan bagi pengajian agama Islam di luar negara Islam itu sendiri.”
Beliau mengulangi pendirian kerajaan baru Perdana Menteri Gordon Brown yang mengakui tidak wujud sebarang masalah yang ditakrifkan sebagai keganasan Islam.
“Keganasan tidak pernah wujud dalam Islam, ajaran mahu pun tradisinya. Ia terbukti bertentangan dengan pendirian Islam yang sebenar iaitu keamanan, toleransi dan taatkan Tuhan.”
Namun, beliau mendakwa rancangan pengganas di Britain berasal dari Pakistan dan ancaman pengganas di Pakistan pula ada kaitan dengan Britain.
Smith menggesa rakyat kedua-dua negara memainkan peranan penting dengan menolak ideologi keganasan dan menyisihkan pengikut mereka. - Agensi
BERITA HARIAN