Chelsea masih bernafas, United tiada pilihan GEMBIRA: Ballack (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Didier Drogba ketika menentang Newcastle dalam saingan EPL, malam tadi. Chelsea menang 2-0. - Reuters
|
LONDON: Chelsea terus melengahkan detik pemahkotaan juara Liga Perdana Inggeris yang tampak hampir pasti milik Manchester United, apabila menang 2-0 ke atas Newcastle United di St James Park malam tadi untuk kembali setanding dari segi kutipan mata.
Menjelang perlawanan terakhir Chelsea dengan Bolton dan United-Wigan Sabtu ini, barisan Avram Grant wajar dipuji kerana terus berusaha gigih mencari kemenangan.
Dengan kedudukan kini terikat 84 mata tetapi skuad Alex Ferguson cukup selesa dengan perbezaan jaringan, khususnya menerusi peledak digeruni Cristiano Ronaldo, kedua-dua pasukan kini perlu memastikan kemenangan dalam perlawanan terakhir mereka.
Malah, jika berjaya menjulang trofi liga penghujung minggu ini, kedua-dua pasukan juga berpeluang meraih kejuaraan berganda kerana akan bertembung sesama sendiri dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Moscow, 21 Mei ini.
Dalam saingan malam tadi, Chelsea yang bertandang ke gelanggang lawan bagaimanapun dipaksa bekerja keras sepanjang babak pertama, malah ketua pasukan John Terry menafikan peluang terbaik Michael Owen.
Begitupun, Chelsea tampil lebih garang di babak kedua dan menerusi gerakan tepi padang pada minit ke-61, Didier Drogba membuat hantaran ke tengah yang disambut dengan tandukan baik Michael Ballack untuk gol pertama.
Ketika Newcastle cuba mencari gol penyamaan di depan kira-kira 52 ribu penonton, Chelsea terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-82 apabila Florent Malouda pula meledakkan rembatan kaki kiri rendah dari jarak kira-kira 12 meter untuk menewaskan penjaga gol Steve Harper.
Sementara itu, pemain Manchester United dijanjikan habuan bonus £250,000 (RM1.77 juta) setiap seorang andai mereka berhasil memperoleh kejuaraan berganda, musim ini.
Habuan bagi memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-juara Eropah dipersetujui oleh pemilik kelab itu, musim panas lalu.
"Kami melalui musim yang baik dan bermain bola sepak menakjubkan dan menarik berbanding pasukan lain dalam negara ini," kata Ferguson.
"Kami mempunyai skuad muda dan ia pastinya akan lebih baik musim depan. Pemain baru kami melaksanakan tugas mereka dengan baik dan masa depan tampak positif." – Agensi