Mata penuh buruan Portugal
SWITZERLAND - Portugal percaya hanya kemenangan pada perlawanan pertama akan menentukan nasib mereka sepanjang Kejuaraan Eropah (Euro) 2008.
Dengan diketuai bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, skuad kebangsaan Portugal berazam mengulangi dan memperbaiki pencapaian pada edisi 2004.
Ketika itu, Portugal yang juga tuan rumah Euro 2004 muncul naib juara selepas tewas kepada Greece pada perlawanan akhir.
Namun untuk mengulangi mahupun memperbaiki pencapaian tersebut, Portugal harus terlebih dahulu menundukkan Turki pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Geneva awal pagi esok.
"Memang penting untuk menang pada perlawanan pertama," kata perancang Portugal, Armando Petit.
"Kemenangan ini bukan hanya untuk memperoleh mata maksimum tetapi juga untuk memberi motivasi kepada seluruh pasukan.
"Ia juga akan menentukan keseluruhan prestasi pasukan sepanjang kempen kali ini."
Untuk rekod, Portugal berjaya menundukkan Turki sebanyak dua kali pada Kejohanan Eropah.
RONALDO (kiri) giat berlatih bersama rakan sepasukannya, Joao Moutinho semalam.
Kali pertama mereka menundukkan Turki pada peringkat kumpulan pada edisi 1996 diikuti pada pusingan suku akhir empat tahun kemudian.
Selepas Turki, Portugal akan menentang Republik Czech dan Switzerland dalam aksi Kumpulan A. - AP