Alex Ferguson lebih rela pemain itu ‘reput’ dalam barisan simpanan UnitedLONDON: Pemain sayap Manchester United, Cristiano Ronaldo mengakui dia mahu beraksi untuk juara bola sepak Sepanyol, Real Madrid, menurut laman web Brazil, kelmarin.
Walau pun United sudah menegaskan secara berulang kali tidak akan menjual pemain aset mereka itu, tambahan pula Alex Ferguson berkata mereka lebih rela pemain itu ‘reput’ dalam barisan simpanan, kini komen diluahkan Ronaldo seperti membuka semula suatu kemungkinan betapa dia akan meninggalkan Old Trafford.
Ronaldo menyuarakannya di laman web Terra itu yang kemudian mendakwa ia satu temubual eksklusif bersama pemain antarabangsa Portugal itu.
“Saya mahu beraksi untuk Real Madrid tetapi hanya jika benar mereka mahu membayar United apa harga yang diminta. Namun, ia tidak bergantung kepada saya,” katanya.
Real dipercayai menawarkan Ronaldo AS$586,000 (RM1.9 juta) seminggu selepas cukai untuk berpindah ke Bernabeu dan akan membayar United bayaran yang bakal mencatat rekod dunia jika perjanjian itu dapat dibereskan.
Namun, Ronaldo menambah dia tidak akan membincangkan masa depannya ketika saingan Euro 2008 kerana dia tidak mahu hilang fokus kepada usaha membantu skuad negara.
“Bermula hari ini saya tidak mahu bercakap mengenai topik perpindahan kelab lagi. saya hanya akan bercakap selepas tamat Euro 2008. Jangan tanya saya soalan. Saya tidak akan menjawab,” katanya.
Juara Sepanyol itu tampak mahu menyerah kalah dalam perebutan itu selepas United mengancam mahu membawa isu perpindahan itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Kini Ferguson pasti akan terkejut untuk mendapat tahu Ronaldo, yang menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan musim lalu, semakin hampir mahu keluar daripada pasukan itu selepas membimbing pemain muda itu menjadi antara bintang terbaik dunia.
United sudah pasti akan berjuang untuk mengekalkan pemain itu manakala Real dijangka berusaha keras dalam usaha mendapatkan tandatangan bintang itu dalam perpindahan utama musim panas ini. - AFP