LONDON - Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo (
gambar) dilaporkan semakin hampir menyertai Real Madrid.
Akhbar Britain melaporkan Ronaldo sudah bersedia untuk menandatangani kontrak bersama juara Liga Sepanyol itu sekiranya mereka bersedia membayar dengan harga yang ditetapkan United.
Malah, jurulatih Real, Bernd Schuster dikatakan sanggup menjadikan Ronaldo sebagai pemain termahal di dunia sekiranya Ronaldo dapat memujuk United untuk melepaskannya.
Sebelum ini, akhbar
The Times melaporkan bahawa Real bersedia melakukan apa sahaja untuk memujuk United melepaskan Ronaldo.
Bekas bintang Sporting Lisbon itu dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut sejurus selepas berakhirnya Kejuaraan Eropah (Euro) 2008.
"Ronaldo telah membuat keputusan untuk berpindah ke Madrid dan dia akan menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman," kata sumber terdekat dengan Ronaldo kepada akbar
Daiy Mirror."Pengumuman ini merupakan detik yang amat penting tetapi ia tidak akan berlaku sehinggalah berakhirnya kempen Euro 2008 buat Portugal."
Enam belas bulan lalu, Ronaldo telah menandatangani kontrak bersama United dengan bayaran 120,000 pound (RM758,700) seminggu tetapi dia dijangka menerima bayaran dua kali ganda sekiranya berpindah ke Bernabeu.
Awal bulan ini pula, pengurus United, Alex Ferguson mengugut dia lebih rela meletakkan Ronaldo di bangku simpanan daripada membiarkan bintangnya itu meninggalkan Old Trafford.
Ferguson juga tetap dengan keputusannya untuk tidak menjual Ronaldo meskipun Real dilaporkan bersetuju untuk menawarkan pemain sayap Brazil, Robinho sebagai sebahagian daripada perjanjian. - AFP