Percintaan jarak jauh tak sampai ke jinjang pelaminSUDAH ketentuan Ilahi, jodoh Siti Sarah Raisuddin, 24, dan
pelumba motosikal kelahiran New Zealand, Muhamad Harith Fuad Robinson,
25, tidak sampai ke jinjang pelamin. Sarah dan Fuad yang mengikat tali
pertunangan pada Januari 2007 sudah pun membawa haluan masing-masing
dalam erti kata lain, ikatan tali pertunangan mereka sudah terlerai
sejak dua bulan lalu.
Usah ditanya kenapa dan mengapa? Bukan punca daripada
kehadiran orang ketiga atau sesuatu yang melukai sebaliknya sudah
suratan takdir, jodoh dan pertemuan Sarah dan Fuad terhenti di situ.
Malah mereka meleraikan ikatan pertunangan dengan persetujuan kedua-dua
pihak.
Dengan nada perlahan, gadis genit itu akui:
"Sudah dua bulan berlalu, saya sudah pun melupakannya. Tiada perbalahan
besar, tiada juga pembabitan orang ketiga dalam perhubungan kami. Cuma
di kala saya tersepit dalam pelbagai kontroversi yang menghiris hati,
saya fikirlah eloklah saya melepaskan sesuatu yang membebankan.
"Dunia kami jauh berbeza. Saya di Kuala Lumpur, Fuad pula di Pulau
Pinang membuatkan kami terpisah jauh. Dalam tempoh beberapa bulan,
hanya sekali dua kami dapat bertemu apatah lagi dapat meluangkan masa
bersama seperti pasangan lain. Ketika saya sibuk pada hujung minggu,
hanya itu masa yang Fuad terluang, jadi kami tak dapat bertemu.
"Di kala saya tersepit dengan kontroversi yang menghimpit
diri, Fuad tiada di sisi. Saya faham dengan kerjayanya sebagai pelumba
motosikal, sering sibuk dengan latihan atau perlumbaan, tetapi tiada
guna saya meneruskan ikatan ini sekiranya saya rasa seperti hidup
sendiri, tiada sesiapa di sisi."
Akui Sarah, walaupun Fuad tak pernah melupakan tanggungjawab
sebagai tunang dan menghubunginya setiap hari, tetapi apa akan jadi
apabila mendirikan rumah tangga nanti. Seorang di utara, seorang lagi
di barat. Dan komitmen kerja membuatkan mereka terfikir tiada guna
meneruskan ikatan begini.
"Paling buat saya rasa tertekan apabila Fuad perlu berhijrah
ke Eropah demi meneruskan perjuangannya dalam dunia perlumbaan
motosikal. Jadi bagaimana dengan diri saya, jika saya berkahwin
dengannya, mahu atau tidak saya perlu mengikutnya. Apa akan jadi dengan
kerjaya dan keluarga saya?
"Semua orang tahu saya bekerja untuk membantu meringankan
keluarga dan sebagai anak, saya tak sanggup berjauhan dengan mereka.
Saya juga tidak sanggup korbankan kerjaya kerana bukan mudah untuk saya
mendaki tangga hingga ke tahap hari ini," katanya dengan jujur.
Jauh di sudut hatinya, Sarah akui cukup berat buatnya membuat
keputusan apatah lagi masih menyayangi bekas tunangannya itu tetapi
demi kebaikan, mereka terpaksa akur dengan situasi yang menekan.
"Walaupun sudah tiada ikatan, kami tetap berkawan baik malah Fuad masih
menghubungi saya bertanya khabar. Kami reda dengan perpisahan ini dan
sekiranya ada jodoh, saya tak menolak untuk kembali kepada Fuad, tetapi
biarlah saya tidak terpisah jauh dengan keluarga dan kerjaya," katanya.
Tertekan dengan kontroversiBERLAGAK diva, demand dan tidak berdisiplin dikaitkan dengan
Sarah sejak akhir-akhir ini. Peri kelakuan Sarah menjadi bualan hangat
hingga penyanyi lagu Kesetiaan itu tertekan dengan situasi yang
menghimpit dirinya. Namun Sarah juga manusia biasa, tidak lepas
melakukan kesilapan.
Secara jujur, Sarah akui dirinya melakukan kesilapan besar
apabila mengambil seorang pengurus. Tak perlulah dijelaskan siapakah
pengurus itu. Semuanya berlaku gara-gara pengurusnya itu tidak tahu
menguruskan kerjanya hingga menyusahkan orang lain. Dan mangsanya
adalah Sarah.
"Atas dasar percaya saya mengambilnya sebagai pengurus. Saya
silap, seorang jurusolek nyata tak boleh bekerja sebagai pengurus yang
baik. Dia tidak mengendalikan kerja dengan baik sehingga akhirnya saya
menjadi mangsa dan terpaksa berdepan krisis dengan wartawan dan rakan
artis kerana salah faham.
"Ketika seminggu lalu final One In A Million (OIAM), pengurus
berkenaan menandatangani perjanjian satu undangan persembahan anjuran
sebuah akhbar di Johor Bahru sedangkan dia tahu, saya dilarang sama
sekali memenuhi undangan nyanyian ketika dalam OIAM, apatah lagi final
sudah dekat.
"Masa saya terhad, oleh kerana sudah berjanji, mahu atau
tidak, saya terpaksa juga memenuhi undangan itu. Bagaimanapun, nak
jadikan cerita, kereta saya rosak ketika dalam perjalanan dan saya
hanya boleh sampai awal pagi. Jadi saya terpaksalah membatalkannya.
Sebagai pengurus, sepatutnya dia menjelaskan perkara yang sebenar pada
penganjur tetapi dia mereka cerita mengatakan saya tak mahu pergi.
"Kalau saya tak mahu pergi, takkan saya mengikutnya dan
perjalanan kami sudah sampai di Melaka ketika itu. Selang beberapa
hari, terpampang keluar cerita saya tiada disiplin. Dan sejak itu,
bagai berturutan cerita saya bermasalah, berlagak dan macam-macam lagi
hingga saya tak sanggup nak mendengarnya. Yang peliknya, siapa lagi
yang menyampai cerita bukan-bukan kalau bukan dia yang dekat dengan
saya," katanya.
Sarah berkata, dia sudah memberhentikan pengurus berkenaan
dan kini sudah memiliki pengurus lain yang lebih bertanggungjawab.
Namun bekas pengurusnya itu tak berpuas hati dan menjaja pelbagai
ceritanya hingga kisah 'dalam kain' turut disebarkan kepada wartawan.
"Saya rasa bersalah pada penganjur, saya malu dan takut mahu
berhadapan dengan wartawan yang menguruskan persembahan itu. Saya tak
pernah melalui perkara seumpama ini, saya lost. Saya rasa satu dunia
membenci saya hingga apabila tercetusnya konflik itu, saya malu nak
keluar rumah menemui sesiapa.
"Memang saya biarkan perkara itu terlalu lama terjadi dan
kini, saya baru berani tampil buat kenyataan, saya tak ada kekuatan
ketika itu," katanya.