Debaran United tunggu laporan perubatan Ronaldo SAKIT: Ronaldo mengerang kesakitan dan cuba dibantu pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger ketika saingan suku akhir Euro 2008 di Basel, Switzerland, 19 Jun lalu.LONDON: Sudah terbit petanda membimbangkan sama ada mutiara bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dapat beraksi untuk juara kelab Eropah, Manchester United dalam musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermula bulan depan ketika kecederaan buku lali kanan yang dikhabarkan memerlukan pembedahan.
Perkembangan itu turut mengheret perbalahan di antara pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson dan bekas jurulatih Portugal, Luiz Felipe Scolari selepas pengendali dari Brazil itu dikaitkan sebagai antara punca kecederaan itu ketika latihan pusat sebelum kancah Euro 2008 bermula di Switzerland dan Austria, bulan lalu.
Kini, pasukan perubatan dari United dan Portugal dikhabarkan akan meminta nasihat pakar berhubung kecederaan buku lali yang dialami Ronaldo, menurut kenyataan kelab juara EPL itu kelmarin walaupun pihak dari United tidak menyebut apa-apa mengenai pembedahan itu.
Ronaldo yang mendedahkan kecederaan itu selepas kekalahan Portugal di suku akhir Euro 2008 bulan lalu, berkata dia menanggung kecederaan itu selama tiga bulan ketika membantu cabaran United dalam EPL dan juga Liga Juara-Juara Eropah.
Dia tidak menolak kemungkinan memerlukan pembedahan yang mungkin mengambil masa kira-kira enam minggu untuk memulihkan kerjaya bola sepak yang kini meniti ke tahap tertinggi ketika dia mula digelar pemain nombor satu dunia.
"Pegawai perubatan Manchester United bertemu pasukan perubatan dari Persatuan Bola Sepak Portugal dan Cristiano Ronaldo di Lisbon hari ini (semalam) berhubung rawatan terhadap buku lali kanannya yang tercedera," kata United di laman web mereka (www.manutd.com).
"Sebagai susulan, nasihat pakar diperlukan dan pengumuman akan dibuat mengenai tindakan selanjutnya," kata kenyataan United itu lagi.
Ronaldo kekal sebagai tumpuan utama kerana dia masih belum pasti di mana dia akan beraksi musim depan dan United berkata, pemain itu bukan untuk dijual biarpun Real Madrid juga menegaskan mereka berminat.
Ronaldo berkata, kemungkinan dia ke Real juga besar apabila ditanya mengenai masa depannya di Lisbon oleh televisyen Portugal dengan berkata:
"Saya tidak akan bercakap mengenai apa-apa, saya tidak boleh bercakap," katanya.
Ronaldo memenangi EPL dan Liga Juara-juara Eropah bersama United musim lalu, menjaringkan 42 gol dan dinobatkan sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik EPL untuk kali kedua berturut-turut. Reuters