Kaka kecewakan harapan ChelseaKAKA tetap dengan keputusannya untuk terus kekal menyarung jersi AC Milan.
LONDON – Bintang Brazil, Kaka menegaskan bahawa dia tidak akan terpedaya dengan segala usaha Chelsea yang mahu membawanya ke Satmford Bridge musim ini.
Perancang AC Milan itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab London itu dengan rekod perpindahan dunia berjumlah 80 juta pound (RM498.4 juta).
Kaka adalah pemain paling diminati pemilik The Blues, Roman Abramovich dan juga pemain bintang yang berupaya menonjolkan reputasi kelab itu di seluruh dunia.
Terdapat laporan yang mengaitkan kedudukan Kaka sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan Andriy Shevchenko kembali semula ke San Siro selepas mengharungi dua musim yang mengecewakan di Stamford Bridge.
Begitupun Kaka memberi amaran kepada Chelsea bahawa dia gembira bersama kelab Itali itu meskipun kelabnya gagal beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara.
“Adakah saya akan pergi ke Chelsea? Tidak sama sekali. Sebaliknya saya akan kekal sebagai pemain Milan,” jelas Pemain Terbaik Dunia itu.
“Saya mahu membantu Milan memenangi trofi yang menjadi buruan kami musim ini. Kelab ini telah membawa beberapa pemain yang bagus dan Sheva pastinya mampu menyesuaikan diri tanpa sebarang masalah.”
Sementara itu Chelsea juga dilaporkan cuba memancing penyerang berharga 18 juta pound (RM112.3 juta) dari Sevilla, Luis Fabiano.
Ketika bintang Brazil, Robinho dijadualkan menjalani ujian perubatan sebelum melengkapkan perpindahannya dari Real Madrid dengan harga 28.4 juta pound (RM177.2 juta), pengurus The Blues, Luiz Filippe Scolari pula sedang berusaha untuk mendapatkan Fabiano. – Agensi