MUAR – Seorang mekanik dari Kampung Parit Bugis, terkejut apabila menerima wang kertas RM10 yang kelihatan palsu, tetapi sebenarnya asli.
Pemiliknya, Zulfaharudin Tulus, 30, berkata, dia yang menerima wang itu daripada majikannya semasa menerima gaji awal bulan ini mengakui pada mulanya tidak sedar sekeping not RM10 itu mempunyai kelainan tersendiri.
Menurutnya, dia menyedari kelainan itu ketika menyusun wang tersebut sebelum dimasukkan ke dalam dompet untuk membeli barang di kedai berhampiran.
“Bahagian depan duit ini mempunyai gambar Yang di-Pertuan Agong yang tidak jelas selain tidak punya tandatangan gabenor. Malah perkataan Bank Negara Malaysia dan warnanya juga sangat pudar.
"Bagaimanapun, ia mempunyai jalur keselamatan apabila dilihat di bawah cahaya lampu atau matahari selain mempunyai nombor siri QN3868229. Peliknya bahagian belakang wang ini tidak mempunyai sebarang kecacatan dan kelihatan seperti wang baru,” katanya.
Zulfaharudin berkata, bagi memastikan not RM10 itu bukan wang palsu, dia merujuk ke beberapa bank di sekitar bandar ini dan hasil proses imbasan dan semakan nombor sirinya membuktikan wang berkenaan adalah asli.
“Buat masa ini saya belum bercadang untuk menyerahkan wang itu kepada Bank Negara dan berhasrat menyimpannya untuk kenangan.
“Kepada yang berminat menjadikan ia barangan koleksi boleh berhubung dengan saya,” katanya.
Sebelum ini, penduduk Kampung Batu 20, Sengkang, di Ledang, heboh selepas lebih tiga peniaga kedai makan mengakui ditipu dengan wang kertas RM100 yang kelihatan asli, tetapi palsu.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/wang-kertas-rm10-asli-disangka-palsu-1.112788