CIMB bawa pulang 5 wang kertas pertama Malaysia
KUALA LUMPUR 16 Julai – Kumpulan CIMB berjaya membawa pulang lima
keping wang kertas pertama Malaysia ke negara ini selepas membidanya
sehingga 100,000 pound sterling (RM639,000) pada satu majlis lelongan
di London pada tahun lalu.
Ringgit pertama yang dicetak pada tahun 1967 itu memiliki
tandatangan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tun Ismail Mohamed Ali.
Lima keping wang kertas itu masing-masing bernilai RM1, RM5, RM50, RM100, RM1,000 dan memiliki nombor siri A/1 000001.
Menurut kenyataan CIMB, lelongan khazanah negara itu telah
dianjurkan oleh pakar jurulelong profesional, Spink di London pada
Oktober lalu.
“Sebaik sahaja mendengar berita mengenai lelongan tersebut, kami
bertindak segera untuk menyelamatkan khazanah bernilai itu agar ia
tidak jatuh ke tangan orang lain dengan menyertai lelongan yang
dikuasai pelabur luar negara menerusi bidaan awalnya sebanyak 30,000
pound sterling (RM191,700),” katanya.
Kejayaan tersebut telah mencatat rekod bidaan untuk Spink daripada aspek wang kertas Asia.
Wang kertas unik tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan
CIMB, Tan Sri Md. Nor Yusof kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar
Aziz dan disaksikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dan Ketua
Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak selepas majlis
pelancaran CIMB-Principal Islamic Asset Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Khazanah bersejarah itu akan dipamerkan di Muzium dan Galeri Seni BNM.