Karier Grant jadi taruhan
LONDON - Pengurus Chelsea, Avram Grant (
gambar) pasti tidak dapat menahan kemarahannya jika barisannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Awal pagi esok, Chelsea akan menanti kunjungan kelab Greece, Olympiakos pada aksi kedua pusingan kalah mati di Stamford Bridge selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sebelum ini.
Kini masa depan Grant menjadi pertaruhan jika Chelsea gagal melangkah ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara.
Grant dikatakan gagal memikat hati pemain serta peminat
The Blues sejak menggantikan Jose Mourinho pada September tahun lalu.
Kebencian terhadap Grant semakin menjadi-jadi berikutan kekalahan 1-2 Chelsea kepada Tottenham Hotspurs pada perlawanan akhir Piala Liga minggu lalu.
Pertengkaran antara kapten Chelsea, John Terry dengan penolong jurulatih Henk Ten Cate turut menambahkan spekulasi bahawa kem Chelsea kini benar-benar dibelenggu masalah dalaman.
Begitupun, kemenangan 4-0 ke atas West Ham United dalam saingan Liga Perdana England Sabtu lalu kembali melonjakkan semangat barisan Chelsea.
Kini, pemain sayap lincahnya, Shaun Wright-Phillips yakin Chelsea mampu melangkah lebih jauh dalam kempen Liga Juara-Juara.
"Kami akan merasa kecewa kerana dengan pemain yang ada, kami mampu memenangi segala-galanya," katanya kepada
BBC Radio Five.
"Kami cuma perlu berusaha untuk memberi tumpuan pada setiap perlawanan dan Liga Juara-Juara adalah perlawanan seterusnya dan ia sangat penting bagi kami.
"Selagi kami mampu mencatat kemenangan dan bermain seperti yang dilakukan di Upton Park, saya yakin kami mampu meneruskan saingan dalam semua pertandingan.
"Kami tahu sebagai sebuah pasukan seperti ini, kami mampu melangkah lebih jauh." - AFP