'United di laluan betul'
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menganggap kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Old Trafford kelmarin sebagai detik penentu kepada perebutan gelaran Liga Perdana England musim ini.
Kejayaan itu menyaksikan United kekal mendahului takhta liga sekalipun diekori rapat Chelsea.
Begitupun, skuad Avram Grant itu masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding United dan dilihat mampu menghalang hajat skuad Red Devils muncul juara.
Dengan baki empat perlawanan, Ferguson yakin anak buahnya kini berada di landasan yang betul bagi mempertahankan kejuaraan liga.
PEMAIN tengah Manchester United, Owen Hargreaves (tengah) diraikan rakan sepasukannya selepas meledak gol di Old Trafford kelmarin.
United bakal berdepan Blackburn Rovers selepas ini dan sekiranya kemenangan berjaya dilakar di Edwood Park, anak buah Ferguson sudah mula boleh mengimpikan kejuaraan liga dengan syarat mereka perlu menewaskan Chelsea di Stamford Bridge pada 26 April ini.
"Saya kata jika kami menang tiga perlawanan selepas ini, kami akan menjadi juara," kata Ferguson.
"Kami berjaya mengharungi detik yang mendebarkan hari ini (kelmarin).
"Kami ada masa seminggu untuk berehat dan mengumpul semula tenaga sebelum berdepan Blackburn di tempat mereka.
"Pemain tahu ia pertemuan yang penting. Arsenal dan kami telah lama bersaing merebut trofi ini sejak 15 atau 16 tahun dan pertembungan antara kami selalunya penuh emosi."
Ferguson juga bersetuju dengan laporan yang mengatakan United amat bernasib baik menewaskan Arsenal.
"Kualiti perlawanan ini amat menakjubkan," tambah Ferguson.
"Tiada lagi perlawanan yang lebih baik daripada ini. Mereka lebih bagus pada babak pertama. Saya rasa kami agak gementar dan hantaran kami juga kurang baik." - AFP