CUEPACS perlu bandingkan gaji pekerja swasta
SAYA terus terang menyatakan, sama sekali tidak bersetuju desakan dan ancaman yang diutarakan oleh CUEPACS terhadap kerajaan. Asyik-asyik memohon elaun itu dan elaun ini. Saya berpendapat CUEPACS juga sepatutnya membantu kerajaan menjalankan kajian bagi meningkatkan lagi prestasi pentadbiran kerajaan. Umpamanya menyelesaikan perkara-perkara kerenah birokrasi iaitu rintihan kesulitan, yang kerap kali kita dengar apabila berurusan dengan kerajaan.
Naik gaji, naik elaun itu dan ini adalah baik, dan perlulah kena pada masa dan ketikanya. Padahal kita baru sahaja menerima kenaikan gaji pada tahun lalu 2007. Malahan kenaikan tersebut adalah dianggap yang terbaik bagi pekerja-pekerja sokongan yang melibatkan kenaikan lebih kurang 40 peratus. Saya sebagai pesara kerajaan juga sedikit sebanyak telah menerima dari kenaikan berkenaan.
Adakah patut (jika tidak bertepat masa dan ketikanya) hanya sebilangan kecil rakyat yang akan menikmatinya.
Adakah CUEPACS telah membuat kajian bahawa kedudukan gaji dan elaun yang diterima oleh setiap peringkat kakitangan kerajaan ketika ini rendah jika dibandingkan dengan pekerja-pekerja dari syarikat swasta? Untuk maklumat CUEPACS, mereka daripada pihak swasta menerima gaji yang lebih rendah berbanding kerajaan kecuali CEO dan pegawai-pegawai tinggi/pengurusan mereka.
Begitu juga syarikat swasta yang sama-sama menyumbang meningkatkan ekonomi negara, yang berlipat kali ganda pekerjanya dari kerajaan, kerap kali tidak mampu mengikut arus kenaikan gaji/elaun kakitangan kerajaan setiap kali diumumkan. Impaknya syarikat tidak dapat beroperasi dengan efisien dan berhadapan dengan masalah tuntutan pekerjanya. Syarikat akan rugi. Akhirnya syarikat gulung tikar. Ekonomi negara tidak berkembang. Siapa yang rugi? Kita semua yang rugi.
Cuba kita renungkan kembali akibat dari kenaikan gaji kakitangan kerajaan pada tahun 2007 yang lalu. Bukankah itu satu di antara sebab-sebab kenaikan barang keperluan? Yang menerima faedah hanya satu juta kakitangan kerajaan tetapi yang menanggung beban seluruh 25 juta rakyat Malaysia termasuk pekerja-pekerja syarikat dan yang paling terasa penduduk yang tiada kerja tetap. Siapakah mereka itu? Mungkin ada daripada kalangan mereka adalah saudara-mara kita sendiri. Adakah ini adil namanya?
Oleh itu saya berharap CUEPACS perlulah bersikap lebih rasional dan bersyukur apa yang telah diperolehi. Bagi kerajaan saya berharap tidak perlu tunduk ke atas desakan mereka dan perlu tegas menanganinya.
ISAWMJU
Kuala Lumpur.
source : utusan malaysia online